Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi
Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi
Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti
baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dikasihi
kerana Allah,
Rasulullah SAW
sentiasa mengajar umatnya untuk sentiasa bersedekah di waktu pagi dan membaca
doa menolak musibah pada waktu pagi dan petang kepada Allah SWT boleh terhindar
atau dijauhi daripada bala dan musibah.
Perkara-perkara yang
boleh menjauhkan bala dan musibah adalah seperti berikut :
Pertama : Bersedekah
pada waktu pagi.
Kedua : Membaca doa
menolak musibah
Huraiannya :
Pertama : Bersedekah
pada waktu pagi.
Nabi SAW berwasiat
kepada Saidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali! Sedekah yang
sembunyi-sembunyi itu dapat mereda murka Allah dan dapat menarik rezeki dan
berkah yang banyak. Maka berpagi-pagilah kalau bersedekah. Kerana sesungguhnya
bahaya itu turun pagi hari, sebelum bahaya turun, bersedekahlah sehingga dapat
menolak bahaya di udara."
Berdasarkan hadis
diatas jelaslah kepada kita bahawa bahaya (bala) akan turun pada waktu pagi
maka jika kita bersedekah pada waktu pagi boleh menolak bahaya di udara dengan
izin Allah SWT.
Bagaimana cara-cara
kita hendak bersedekah pada waktu pagi?
Perkara ini amat mudah
kerana di masjid atau di surau terdapat tabung-tabung derma samada untuk
masjid atau surau atau tabung khusus untuk anak yatim maka semasa datang
ke masjid atau surau untuk solat subuh berjemaah maka masukkan ke dalam tabung
tersebut walaupun hanya satu ringgit. Amalkan setiap hari dan niatkan semata-mata
kerana Allah SWT.
Nabi SAW bersabda
maksudnya : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai
dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata: "Ya Allah
berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)." Dan salah
satu lagi berkata: "Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan
kerugian”.
(Hadis Riwayat Bukhari
dan Muslim)
Dalam hadis yang lain
sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu
akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk
(su’ul khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)
Maksud kematian yang
buruk (su'ul khatimah) ada kematian mengejut disebabkan kemalangan jalan raya,
mati terbakar, mati lemas atau mati dibunuh. Dikhuatiri semasa mengalami
kematian tersebut tidak sempat mengucap kalimah "Laailahaillallah"
dan tidak sempat bertaubat.
Al-Mubarakafuri pula
menceritakan bahawa Imam al-Iraqi pernah berkata : “Jika difahami secara zahir
apa yang dimaksudkan dengan kematian yang buruk adalah seperti meninggal dalam
runtuhan, jatuh di tempat tinggi, mati lemas, mati terbakar, diganggu syaitan
ketika sakratul maut dan mati ketika sedang melarikan diri dari medan perang dimana
keadaan-keadaan seperti ini yang Nabi SAW memohon kepada Allah untuk dijauhkan
daripadanya.”
Kedua : Membaca doa
menolak musibah
Dari Aban bin Osman, bahwa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa membaca ‘BISMILLAAHIL LAZII LAA YADURRU MA’AS MIHI SYAI’UN FIL ARDI WALA FIS SAMAA’ WAHUWAS SAMII’UL ‘ALIIM’
Maksudnya :
"Dengan nama Allah, dengan nama-Nya tidak akan berbahaya sesuatu yang ada
di bumi dan di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"
sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa musibah hingga malam hari, dan
sesiapa membacanya di waktu malam maka tidak akan ditimpa musibah hingga pagi
hari, dengan izin Allah.”
(Hadis Riwayat Ahmad
no 497)
Satu ketika Aban bin
Osman telah ditimpa musibah mendadak di mana dia telah ditimpa penyakit lumpuh.
Sahabat hairan mengapa Aban boleh mengalami musibah, padahal dia yang telah
meriwayatkan hadis doa menolak musibah. Maka Aban bin Usman dengan jujur
mengakui bahawa pada hari itu dia telah terlupa membaca doa tersebut.
Nabi SAW ada
mengajarkan satu doa untuk kita amalkan supaya doa tersebut menjauhkan kita
daripada kesusahan bala. Maksudnya :"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku
berlindung kepada-Mu daripada kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan
qada dan kegembiraan musuh (terhadap masaalahku)"
(Hadis Riwayat
al-Bukhari).
Amalkanlah doa-doa
tersebut di atas setiap hari waktu pagi dan petang sebagaimana yang
diajarkan Nabi SAW dan yakinlah bahawa kita sentiasa dibawah perlindungan Allah
SWT daripada musibah, bala, su'ul khatimah dan gangguan sihir.
Sahabat yang
dimuliakan,
Jadikan sedekah yang
ikhlas dan doa khusyuk yang dimohon dengan rasa rendah diri kepada Allah SWT
sebagai amalan harian yang tidak kalian tinggalkan, samada kalian berada dalam
keadaan kaya, miskin, hidup menanggung berbagai masalah atau tidak ada
masalah. Jika kalian ingat Allah SWT semasa kalian senang atau kaya maka Allah
SWT akan ingat kalian semasa kalian susah atau miskin. Beristiqamahlah dengan
kebaikan kerana mereka yang hidup beristiqamah akan mendapat reda dan kasih
sayang Allah SWT.